Wednesday, February 28, 2007

Setahun Palestin Masih Bertahan

Setahun Palestin Masih Bertahan

Menjelang dan pada hari Pilihanraya Umum Palestin Kedua pada 25 Januari 2006, saya ketika itu di Mekah, asyik menatap TV siaran rangkaian Al-Jazeerah, beberapa kali sehari, dari pagi ke malam menyaksikan satu turning point sejarah kemanusiaan yang besar. Seluruh dunia memberi fokus. Bekas Presiden Amerika, Jimmy Carter, penaung Perjanjian Camp David yang menjijikkan, sendiri datang ke bumi Palestin untuk menyaksikan dengan lebih dekat proses bersejarah ini. Sehari sebelum pilihanraya, pada 24 Januari 2006, saya sempat menghantar email kepada sebahagian rakan-rakan sekolah dulu dan lain-lain egroup yang ada dalam senarai dengan kata-kata, "Esok hari bersejarah Fatah+Israel+US+Eropah+Rusia dll vs HAMAS, saksikan". Respon yang diterima ialah "Fatah ni apa? Hamas ni apa? ". Ini respon dari para graduan. Bagaimana agaknya ya kepekaan dan maklumat masyarakat kita di desa .

Pada 25 Januari 2007, lebih sebulan yang lalu, genap setahun umat Palestin berada di fasa baru dalam sejarah mereka. Fasa sebuah gerakan Islam, Hamas menang pilihanraya, membentuk kerajaan, memimpin dan membimbing sebuah negara yang sedang dijajah bukan sahaja oleh Yahudi Israel secara berdepan tetapi dibelakangnya oleh Amerika Kapitalis, Eropah Imperialis, Rusia Komunis dan kebanyakan negara-negara dunia yang rela atau terpaksa tunduk kepada kesemua atau mana-mana dari Kuasa-kuasa Besar di atas. Sebaik Pilihanraya Umum Palestin 25 Januari 2006 disiarkan keputusannya, Hamas menang lebih 60%, Kuasa-kuasa Besar yang menguasai dunia memaksa Palestin dipencilkan.

Bantuan kewangan dipotong. Bank-bank dalam Palestin diarah tidak bermuamalah dengan Kerajaan Palestin. Ibu bapa yang ke bank untuk mendapatkan wang dari cek yang dihantar oleh anak mereka dari luar negara pulan rumah hampa kerana pihak bank tidak dapat melayan cek tersebut. Ada menteri dari Hamas yang ditangkap di sempadan hanya kerana mereka terpaksa membawa wang bantuan dari masyarakat luar secara tunai di sempadan ! Amerika mengarahkan negara-negara Islam agar tidak menyalurkan bantuan kepada Kerajaan Palestin pimpinan Perdana Menteri, Ismail Haniyeh. Malangnya kesemua negara Islam akur kerana takut kepada Amerika dan Barat, membiarkan saudara mereka di Palestin kelaparan dan tanpa gaji kerajaan lebih setahun hingga ke hari ini, mengikut kehendak Amerika dan Eropah untuk melihat Kerajaan Palestin dari Hamas gagal. Kebanyakan kerajaan negara-negara Islam samada tidak langsung menyalurkan bantuan atau berpura didepan rakyatnya dengan menyalurkan bantuan, tetapi sebenarnya kepada Presiden Palestin Mahmud Abbas dari Parti Fatah yang tewas teruk dalam Pilihanraya 2006 lalu.

Parti Fatah menang kerusi Presiden tanpa bertanding pada tahun 1993, tanpa bertanding, kerana Parti Hamas memboikotnya. Mahmud Abbas mengambil alih jawatan Presiden dari Yasser Arafat, yang mati misteri di Paris sehinggalah Pilihanraya Presiden yang akan diadakan selepas ini nanti. Walaupun telah kalah dalam Pilihanraya 2006, Parti Fatah dan Presiden tetap menikmati bantuan ratusan juta dollar dari Barat, ratusan juta dollar dari negara-negara Islam yang disalurkan kepada Presiden Mahmud Abbas tanpa kabinet disamping polis tetap dibawah arahan Presiden dan tidak diletakkan dibawah Kementerian Dalam Negeri seperti yang sepatutnya. Kedutaan-kedutaan Palestin dari PLO masih dibawah Parti Fatah dan siaran telivisyen tidak diserahkan dibawah Kementerian Penerangan. Amerika dan Barat tahu benar bahawa semua ini tidak demokratik, namum prinsip demokrasi yang mereka sering laungkan di negara mereka tidak sama dengan demokrasi yang mereka ingin dilaksanakan di dunia Islam.

Gerakan Hamas (ditubuhkan tahun 1987) berpendirian bahawa bumi Palestin adalah Islam dan sedang dijajah. Wajib membebaskan Palestin berdasarkan Ijmak Ulamak yang tidak boleh dipertikaikan lagi. Telah sepakat semua ulamak mazhab, terdiri dari Mazhab Hanafi dalam kitab Mujammak Al-Anhar fi Syarh Multaqa Al-Abhar, Mazhab Maliki dalam kitab Balghah As-Salik li Aqrab Al-Masalik, Mazhab Syafie dalam kitab Al-Minhaj karangan Imam Nawawi dan Mazhab Hanbali dalam kitab Al-Mughni oleh Ibnu Qudamah bahawa wajib fardhu ain membebaskan dengan Jihad setiap inci bumi Islam yang diceroboh oleh musuh. Oleh itu kehadiran Yahudi yang dibawa masuk oleh British mulai tahun 1917 dan kelahiran "negara Israel" pada tahun 1947 yang "disahkan" oleh PBB pada tahun 1948 adalah suatu pencerobohan dan penjajahan yang tidak boleh diiktiraf, wajib Jihad sehingga Palestin kembali merdeka keseluruhan buminya. Disegi realiti juga, tegas mereka, "Israel" akan terus dikembangkan oleh musuh-musuh ini sehingga merangkumi seluruh Timur Tengah.

Gerakan Fatah pada awalnya, di tahun-tahun 1960an, berpendirian hampir sama dengan Hamas tetapi berakhir pada hari ini dengan pendirian mengiktiraf kewujudan dan negara Israel di bumi Palestin, meletak senjata dan tidak menentang kewujudan dan kepimpinan Yahudi dalam bentuk Kerajaan dan Negara Israel di bumi Palestin. Disegi realitinya juga, kata Fatah, kita kena menerima realiti semasa atau jika tidak harus sedia menerima padah dari Kuasa-kuasa Barat dan Israel.Pendik kata, Hamas memilih untuk bangkit menentang penjajahan Israel dan Kuasa-kuasa Besar Dunia dan Fatah memilih untuk menyerah kepada realiti semasa dan menyerah nasib kepada agenda "masyarakat antarabangsa" yang dipimpin oleh agenda Zionis Yahudi melalui Kuasa-kuasa Besar Amerika, Eropah dan Rusia.

Pilihanraya 25 Januari 2006 lalu, umat Palestin memilih Hamas dan pendiriannya, memilih penentangan dan tidak mengiktiraf pencerobohan di bumi mereka warisan umat silam. Kini mereka yang bekerja dengan kerajaan tidak mendapat gaji berbulan-bulan lamanya. Pada bulan Ramadan 2006 lalu, Perdana Menteri, Ismail Haniyeh berkata bahawa beliau sendiri hanya mendapat gaji dua bulan sahaja.Namun anehnya dan apa yang mengkagumkan kita, umat Palestin terus mendokong Hamas, pilihan mereka dalam pilihanraya lalu. Hamas menang lagi dalam pilihanraya Persatuan Jururawat dalam bulan Jun 2006 dengan memenangi lebih dari 70% kerusi yang dipertandingkan. Peratus yang hampir sama juga diperolehi Hamas dalam pilihanraya di universiti-universiti dalam Palestin pada akhir tahun 2006 lalu.

Apalah lapar pada mereka sedangkan mereka telah berkorban lebih dari itu dengan menyumbangkan para syuhadak dari kalangan belia-belia mereka demi membebaskan Palestin dari penjajahan musuh. Tawaran ratusan juta dollar oleh Amerika untuk mereka dengan syarat mengiktiraf "Israel" dan meletak senjata sedikit pun tidak menambat hati mereka.

Saya melihat sendiri di kaca telivisyen di Damsyiq, Syria suatu yang mengharukan terjadi dibulan Ramadan lalu, setelah 8 bulan sekatan wang, penangkapan sebahagian menteri-menteri dan ahli-ahli parlimen Hamas oleh Israel, tekanan Barat dan juga malangnya, negara-negara Islam, sedang Aidil Fitri menjelang tiba. Ia seolah kemuncak tekanan dan akan menyusul selepas itu kemuncak yang lebih teruk lagi. Kedengaran khabar yang ingin menunjukkan Hamas akan mula mengalah, mengiktiraf "Israel", meletakkan senjata atau menyerahkan kuasa dan nasib umat kepada Fatah, dan sebagainya. Dikatakan bahawa berlaku perbincangan panjang diantara Hamas dalam Palestin dengan Hamas di luar Palestin seperti Ketua Politik Hamas, Khalid Masy'al yang tinggal dalam buangan di Damsyiq, Syria. Akhirnya Perdana Menteri, Ismail Haniyeh muncul di hadapan puluhan ribu rakyat Palestin yang sedang berhimpun dan menyatakan dengan terang dan tegas sebanyak tiga kali, "Kita tidak akan mengiktiraf Israel ! Kita tidak akan mengiktiraf Israel ! Kita tidak akan mengiktiraf Israel ! " disambut dengan takbir dan laungan rakyat jelata yang lapar lagi tertindas.

Mereka rela berkorban diri dan keluarga demi memastikan isu Palestin yang dijajah terus jelas dilembaran sejarahnya untuk kita umat Islam dan generasi akan datang. Membebaskan Masjid Al-Aqsa milik semua umat Islam bukan sahaja kewajipan mereka malah ia adalah kefardhuan di atas seluruh umat Islam. Benarlah hadis Rasulullah saw, "Akan ada segolongan dari umatku, terus terang dengan kebenaran, tidak memudaratkan mereka oleh orang-orang yang hendak menganiaya mereka sehinggalah datang ketentuan dari Allah sedang mereka masih dalam keadaan tersebut (terus terang dengan kebenaran)". Para Sahabat bertanya, "Dimanakah mereka ya Rasulullah?". Nabi saw menjawab, "Di Baitul Maqdis (Jerusalem) dan disekelilingnya (Syam termasuk Palestin)".

Lebih setahun telah berlalu, umat Islam di Palestin masih dapat bertahan dan insyaallah akan terus bertahan dan berjuang sehingga datang nanti ketentuan dari Allah swt. "Mereka (musuh-musuh) mahu memadamkan cahaya Allah (agama dan negara Islam) dengan mulut-mulut mereka sedang Allah enggan dan sebaliknya akan menyempurnakan cahayaNya (kemenangan Islam) walaupun orang-orang kafir tidak menyukainya" (Al-Taubah : 32).

Ustaz Haji Abdul Halim Abdullah
B.Engineering (Queensland), B.A. (Al-Azhar), G.D. (Cairo)
012 - 659 0000 ust.halim@excite.com